Sabtu, 16 Februari 2013

APLIKASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM


APLIKASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi pendidikan bergantung kepada keupayaan dan kebolehan untuk mengaplikasikannya sesuai dengan objektif pembelajaran. Isu ini memberi satu cabaran yang besar terhadap kadar penerimaan dan persiapan mental serta kompetensi dalam penggunaannya dalam kalangan guru secara amnya. Pada masa yang sama, masih terdapat guru yang ketinggalan dalam perkembangan teknologi maklumat (IT). Akibatnya, mereka tidak dapat mengikuti perkembangan pesat yang berlaku dalam dunia pendidikan terutamanya yang dikaitkan dengan IT. Oleh itu, penggunaan IT dalam bidang pendidikan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pendidikan yang semakin maju dan menuntut kepada kerjasama dan komitmen yang begitu tinggi daripada mereka.


Keistimewaan dan kelebihan aplikasi multimedia berbanding kaedah pengajaran tradisional harus diambil kesempatan oleh guru Pendidikan Islam. Perisian khusus untuk mata pelajaran Pendidikan Islam boleh dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik dengan bantuan multimedia berdasarkan kemampuan, kebolehan dan corak pembelajaran yang pelbagai. Paparan grafik, audio, video, dan animasi dalam multimedia memudahkan pemahaman pelajar.

Penggunaan multimedia sangat berkesan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kerana:

1. Membantu memotivasikan pelajar untuk belajar secara lebih menyeronokkan .
2. Memastikan pelajar memainkan peranan aktif dalam pembelajaran mereka dengan pelajar boleh belajar mengikut tahap kebolehan sendiri memandangkan mereka boleh mengulangi bahan yang ingin dipelajari beberapa kali sehingga faham.
3. Membolehkan pelajar memperoleh maklumat dengan lebih mudah.
4. Menyediakan peluang belajar secara penemuan dan menjadikan pelajar lebih berdikari.
5. Pelajar belajar secara lebih spontan, lebih natural dan berkesan berdasarkan mod deria yang digemari.
6. Penggabungan pelbagai media di samping latihan yang direka bentuk secara interaktif membolehkan pelajar mengembangkan pengalaman mereka dengan menerokai pembelajaran sendiri dan tidak hanya menunggu untuk memperoleh maklumat secara pasif.

Kesepaduan antara IT dengan kurikulum Pendidikan Islam dapat mendorong pelajar untuk memahami konsep akidah dan syariat Islam yang sebenar supaya beriman dan mentauhidkan Allah S.W.T. Selain daripada menjadi alat untuk mendorong supaya beriman kepada Allah S.W.T, kedua-dua unsur ini mendorong pelajar melakukan amal salih yang layak baginya menerima balasan syurga yang kekal abadi.

Perubahan dalam bidang pengajaran Pendidikan Islam perlu dilakukan bagi memastikan hasrat dan matlamat FPK dapat direalisasikan. Dengan itu, guru Pendidikan Islam haruslah lebih berani mengguna dan mempraktikkan pelbagai kaedah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar lebih mendatangkan kesan yang baik dan menarik tumpuan pelajar.


sumber rujukan:

http://badandakwahsmktunjb.blogspot.com/2010/05/penggunaan-ict-dalam-pnp-gpi-smktun.html